Kuala
Terengganu: Demi kasih sayang ibu, seorang wanita sanggup mengorbankan
nyawanya dengan menolak anak lelakinya ke tepi jalan dan membiarkan
dirinya dirempuh sebuah motosikal di Jalan Pasir Panjang di sini, pagi
ini.

Dalam tragedi
menyayat hati itu, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Panjang Muhammad
Izzudin Najmi Ibrahim, 12, yang bangkit dari jatuh hanya mampu melihat
jasad ibunya Dayang Che Abdul Kadir, 54, terbaring kaku di atas jalan
tar.
Ketika kejadian
kira-kira 7.15 pagi itu, mangsa yang berasal dari Kampung Pasir Panjang
sedang melintas jalan untuk menghantar Muhammad Izzudin ke SK Pasir
Panjang selepas singgah minum di sebuah warung berhampiran.
Bagaimanapun, ketika melintas jalan tiba-tiba mangsa melihat sebuah motosikal ditunggang laju ke arah mereka.
Difahamkan, mangsa yang menyedari kedatangan motosikal itu menolak anaknya ke bahu jalan sebelum dirinya sendiri dirempuh.
Akibat rempuhan
itu, mangsa terjatuh dan kepalanya terhentak di atas jalan dan
dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian sementara penunggang
motosikal, seorang pelajar tingkatan empat hanya cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar yang dihubungi mengesahkan kemalangan itu.
Menurut beliau,
kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan
membahayakan.